Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis membentangkan enam cadangan penambahbaikan tatakelola kepada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Perlis bagi memperkukuh tadbir urus, pemantapan integriti serta pencegahan rasuah dalam pengurusan kewangan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).
Pengarah SPRM Perlis, Mohd. Nor Adha Ab. Gani berkata, penambahbaikan tatakelola itu memberi penekanan kepada pengurusan penerimaan bayaran tunai serta pematuhan tatacara pemberian kredit dan pinjaman input pertanian bagi mengurangkan risiko ketirisan dan salah guna kuasa.
“Penambahbaikan ini bertujuan memastikan setiap proses kewangan dilaksanakan secara telus, berakauntabiliti dan mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini
Beliau berkata, SPRM turut mengesyorkan pelaksanaan program pembudayaan integriti, pengukuhan nilai murni serta peningkatan kesedaran antirasuah secara menyeluruh di semua PPK sebagai langkah pencegahan berterusan.
Katanya, cadangan penambahbaikan itu memfokuskan kepada dua isu utama iaitu pengurusan penerimaan bayaran tunai melalui Sistem Primari Pertubuhan Peladang (SPPP) serta pengurusan pemberian kredit dan pinjaman input pertanian.
“Antara cadangan dikemukakan termasuk penambahbaikan Garis Panduan Sistem Merekod Penerimaan Tunai dengan penyediaan perincian tatacara perekodan hasil atau tunai menerusi SPPP, selain pewujudan Borang Akuan Serah Terima Wang Tunai bagi memastikan pengurusan tunai dilaksanakan secara lebih telus dan teratur.
“Bagi urusan pinjaman pula, LPP disaran menguatkuasakan pematuhan terhadap Arahan Pendaftar Pertubuhan Peladang (AP4.1.6) berkaitan panduan pemberian kredit dan pinjaman,” katanya.
Ujarnya, langkah itu susulan semakan tatakelola SPRM Perlis yang mendapati terdapat PPK mengamalkan pemberian pinjaman secara budi bicara tanpa mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan. – KOSMO! ONLINE
The post SPRM cadang 6 penambahbaikan tatakelola Pertubuhan Peladang Kawasan appeared first on Kosmo Digital.