Auto Added by WPeMatico

![]()
SHAH ALAM – Ketua Penolong Pengarah Radio Televisyen Malaysia (RTM) didenda RM10,000 dan penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan rasuah bernilai RM28,000, tujuh tahun lalu.
Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin menjatuhi hukuman itu terhadap tertuduh, Suhaila Md. Zaini, 47, selepas pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Mahkamah turut memerintahkan penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda itu.
Permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman bagaimanapun dibenarkan namun wang jaminan dinaikkan kepada RM10,000 sementara menunggu proses rayuan ke Mahkamah Tinggi.
Terdahulu, Mohd. Nasir dalam penghakimannya memaklumkan pembelaan tertuduh meminjam wang RM10,000 daripada seorang individu merupakan satu pembelaan fikiran terkemudian (afterthought) kerana pembayaran balik ‘hutang’ tersebut hanya dilakukan selepas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijalankan pada Oktober 2019.
Katanya, cara pembayaran wang dengan menggunakan akaun pihak ketiga menunjukkan bahawa tertuduh cuba menyembunyikan kesalahan tersebut.
“Pembelaan tertuduh bahawa wang RM18,000 yang diterima telah digunakan bagi perbelanjaan dan pembayaran program-program RTM ditolak.
“Malah, resit-resit dikemukakan oleh tertuduh sebaliknya menyokong kes pihak pendakwaan kerana menunjukkan bahawa tertuduh mempunyai wang tunai yang banyak untuk membuat bayaran kepada pembekal-pembekal yang terlibat dalam program yang dijalankan oleh RTM.
“Ini secara tidak langsung mengesahkan bahawa tertuduh sememangnya mempunyai wang tunai berjumlah RM18,000 seperti dalam pertuduhan dan kemudiannya menggunakan wang tersebut,” katanya.
Jelasnya, tiada keterangan bahawa wang tunai RM18,000 tersebut telah dibayar melalui saluran rasmi RTM.
“Sebaliknya, wang tersebut diterima secara peribadi melalui individu yang mengendalikan program RTM menggunakan akaun syarikat produksi RTM,” katanya.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, Suhaila didakwa sebagai Ketua Penolong Pengarah yang bertugas di Unit Bicarawara, Seksyen Ehwal Semasa RTM telah menerima suatu bayaran berjumlah RM10,000 daripada sebuah syarikat serta wang tunai RM18,000 daripada seorang individu tanpa balasan yang diketahui mempunyai kaitan dengan tugas rasmi tertuduh sebagai Penerbit Rancangan di RTM antara 17 April hingga 9 Julai 2019.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asmaa’ Zamri manakala tertuduh diwakili Shahidah Muslimah Roslan. – KOSMO! ONLINE
The post Pegawai kanan RTM dipenjara, didenda RM10,000 appeared first on Kosmo Digital.
