Auto Added by WPeMatico

![]()
KULIM – Polis mengesahkan insiden letupan mercun di tepi Jalan Paya Besar, di sini tengah malam tadi yang mengakibatkan 22 lelaki mengalami kecederaan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah malam itu, semua mangsa dikejarkan ke Hospital Kulim dengan ambulans untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan sebelum mendapati ramai orang awam cedera akibat letupan mercun.
“Anggota dari Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan bagi membantu mengawal lalu lintas dan orang ramai,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, sebaik tiba di lokasi, orang ramai didapati berkumpul di tepi jalan dan beberapa mangsa cedera dengan kesan luka pada badan dan tangan akibat terkena serpihan belerang mercun.
“Dua ambulans bergegas ke tempat kejadian untuk memberi rawatan awal kepada mangsa. Seorang lelaki didapati cedera parah di kepala, manakala mangsa lain hanya mengalami luka kecil,” ujarnya.
Menurutnya, mangsa terdiri daripada 21 rakyat tempatan dan seorang warga Bangladesh.
“Seorang mangsa lelaki mengalami luka sedalam lima sentimeter di dahi, manakala yang lain hanya luka kecil akibat terkena serpihan mercun,” jelasnya.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku selepas sekumpulan orang awam menyalakan bunga api sempena sambutan Deepavali sehingga menyebabkan satu daripada mercun tersebut meletup berhampiran orang ramai.-KOSMO! ONLINE.
View this post on Instagram
The post [VIDEO] Seorang lelaki parah, 21 cedera akibat letupan mercun appeared first on Kosmo Digital.