Auto Added by WPeMatico

BATU GAJAH – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara berjaya membongkar sebuah kilang memproses barangan logam jenis aluminium yang beroperasi secara haram dengan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM11.8 juta.
Serbuan di premis yang terletak di Kawasan Perindustrian Pengkalan 4 dekat Pusing, di sini semalam dijalankan Cawangan Risik Batalion 3 PGA Bidor dan Batalion 1 PGA Ulu Kinta dibantu oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak dan Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG).
Timbalan Komander Briged Utara, Asisten Komisioner Shamsul Baharin Aman berkata, pemeriksaan mendapati premis itu menjalankan aktiviti pemprosesan aluminium tanpa lesen dan permit sah yang dikeluarkan JAS Perak di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Katanya, dalam serbuan pada pukul 7.30 malam itu, seorang lelaki berusia 37 tahun yang mengaku sebagai pengurus kilang ditahan untuk siasatan lanjut.
“Pemeriksaan yang dilakukan di kilang tersebut telah menemukan sejumlah besar aluminium dengan anggaran berat 1,221.3 tan bernilai RM9.7 juta.
“Rampasan dibuat ke atas barangan logam itu selain mesin dan peralatan pemprosesan serta sebuah lori dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM11.8 juta,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan soal siasat, pengusaha kilang itu menjalankan aktiviti menyimpan, memproses dan mengeluarkan bahan-bahan logam di premis tersebut sejak tahun 2023.
Katanya, setiap produk logam aluminium yang siap akan dieksport ke luar negara melalui ejen yang dilantik.
“Hasil siasatan mendapati premis ini mampu menjana keuntungan bulanan sebanyak RM20,000 hasil daripada aktiviti itu dan menggajikan seramai 10 pekerja,” katanya.
Sementara itu, Mohammad Ezanni berkata, antara bahan utama yang diproses merupakan buangan industri yang dikategorikan di bawah kod SW422 iaitu campuran logam dan pelarut kimia (solvent) yang dikenali sebagai sisa buangan berjadual yang dilarang diproses tanpa lesen sah.
“Semasa tinjauan kita nampak berlaku pembakaran dengan minyak paralisis tayar yang mana minyak ini memang amat serius bila dibakar balik kerana menyebabkan bau yang ketara tanpa kawalan yang sempurna ke udara,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Kilang proses aluminium haram diserbu, rampasan bernilai RM11.8 juta appeared first on Kosmo Digital.