Auto Added by WPeMatico

SEBERANG PERAI – Program Sumbangan Asas Rahmah (Sara) berjalan dengan lancar dan tiada sebarang masalah berhubung label produk mahupun kekurangan stok barangan keperluan diterima, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Menurut Fahmi, isu-isu yang berbangkit berhubung perkara berkaitan termasuk gangguan sistem Mykasih sejak awal pelaksanaan program Sara pada 31 Ogos lalu telah dapat diselesaikan dengan baik.
“Hasil lawatan saya ke sini, saya dapati di bawah program Sara, tidak ada apa-apa masalah, label pun saya nampak sangat jelas dan barang-barang pun tidak ada masalah.
“Stok beras pun saya tengok banyak dan telur pun stoknya lebih daripada 50 peratus. Jadi, saya puas hati dengan pelaksanaan program Sara di sini (Pulau Pinang).
“Pengusaha juga ada memaklumkan dalam sehari mungkin dalam 150 ke 200 orang akan datang menebus Sara,” katanya kepada pemberita selepas hadir meninjau pelaksanaan Program Bantuan Sara di sebuah pasar raya mini di Kubang Semang, Bukit Mertajam di sini, hari ini.
Fahmi berkata, penggunaan MyKad atau kad pengenalan menerusi program Sara adalah sangat tepat dan diterima baik oleh rakyat.
Dalam pada itu, katanya lagi, pihaknya akan meminta Kementerian Kewangan (MOF) untuk mengeluarkan statistik terkini berhubung jumlah penebusan Sara. – KOSMO! ONLINE
The post 200 orang tebus Sara di pasar mini sehari appeared first on Kosmo Digital.