Auto Added by WPeMatico

GEORGE TOWN – Penguatkuasaan undang-undang baharu yang mewajibkan semua kemudahan kesihatan swasta dan farmasi komuniti di Malaysia memaparkan harga ubat berkuat kuasa semalam dilihat sebagai langkah penting demi ketelusan dan hak pengguna.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, penguatkuasaan ini bakal memberi kuasa kepada pengguna untuk membuat pilihan termaklum, membandingkan harga, dan mengelakkan caj yang tidak munasabah.
“Langkah ini disifatkan sebagai titik tolak kepada pembentukan sistem kesihatan yang lebih adil, telus dan mampu milik untuk semua rakyat Malaysia.
“Ubat adalah barangan penting dalam kehidupan seharian. Dengan kadar inflasi perubatan negara mencecah 15 peratus, adalah sangat penting untuk rakyat mengetahui harga ubat secara terbuka,” katanya di sini hari ini.
Selain CAP, langkah itu itu turut disokong oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pengguna lain, antaranya Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) termasuk RURAL Malaysia, TERAS Pengupayaan Melayu dan Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL).
Peraturan baharu yang dikenali sebagai Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Ubat) 2025 ini diwujudkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Menurut Mohideen, undang-undang itu bukan satu bentuk kawalan harga, tetapi merupakan mekanisme ketelusan harga bagi melindungi pengguna daripada amalan harga tidak beretika, terutama dalam sektor swasta. – KOSMO! ONLINE
The post Papar harga ubat beri ruang pengguna buat pilihan -CAP appeared first on Kosmo Digital.