Auto Added by WPeMatico

KOTA BHARU – Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan di Pantai Irama, Bachok dekat sini pada minggu lalu.
Tertuduh, Mohd. Fariz Ibrahim, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia enam tahun empat bulan di sebuah taman permainan di Pantai Irama, Bachok dekat sini kira-kira pukul 6.20 petang pada 11 September lalu.
Mohd. Fariz dituduh mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri tidak mencadangkan jaminan kepada tertuduh memandangkan kesalahan itu serius dan melibatkan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selain menetapkan 23 Oktober depan untuk sebutan fakta kes dan hukuman.
Kosmo! Online melaporkan, seorang lelaki yang memakai kostum kartun ditahan selepas disyaki melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di kawasan taman permainan di Pantai Irama, Bachok dekat sini pada 11 September lalu. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki pakai kostum kartun mengaku ‘sentuh’ budak di Pantai Irama appeared first on Kosmo Digital.