Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan memandu Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dari Kuala Lumpur ke Rawang, Selangor hari ini.
Istana Negara dalam satu hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim berkata, Seri Paduka Baginda berangkat tiba di Stesen Keretapi Kuala Lumpur pada pukul 9.15 pagi sebelum ke kokpit ETS2.
“Sultan Ibrahim kemudian berkenan dipersembahkan taklimat pemanduan di dalam kokpit oleh Kapten Roslan, Kapten Hairul Yani dan Kapten Syukri Ghazali.
“Turut bersama dalam taklimat itu, Ketua Kawalan Operasi KTMB, Sadun Abdullah, dan Inspektor Lokomotif, Kamal Asmawi,” katanya di sini hari ini.
Mengiringi bersama Seri Paduka Baginda dalam pemanduan berkenaan dari Kuala Lumpur-Rawang-Kuala Lumpur ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Tan Sri Datuk Dr Azmi Rohani dan Ketua Pegawai Teknikal (Menanggung Tugas Ketua Pegawai Eksekutif KTMB), Ir Ahmad Nizam Mohamed Amin.
“Pemanduan berkenaan mengambil masa selama sejam secara keseluruhan.
“Sultan Ibrahim mencipta rekod Malaysia Book of Records apabila menjadi Sultan pertama di negara ini memiliki Lesen Memandu Lokomotif Berkuasa Tinggi Kelas 26 pada tahun 2010 dan pernah memandu kereta api pada program Kembara Mahkota Johor (KMJ 2010),” katanya.
Katanya, Seri Paduka Baginda mendapat lesen memandu kereta api dan melakukan prosedur “turn table” bagi memusingkan lokomotif 86 tan dalam tempoh 10 minit di Stesen Gemas, Negeri Sembilan, sekali gus diiktiraf sebagai Sultan pertama memandu kereta api sejauh 391.3 kilometer selama tiga hari. -KOSMO! ONLINE
The post Sultan Ibrahim berkenan pandu ETS dari KL ke Rawang appeared first on Kosmo Digital.