Auto Added by WPeMatico

LONDON – Pengurus Chelsea, Enzo Maresca mempertahankan keputusannya tidak menyenaraikan barisan bintangnya dalam kesebelasan utama ketika seri 2-2 dengan Brentford, awal pagi semalam.
Cole Palmer, Reece James dan Marc Cucurella tidak berada dalam kesebelasan utama dan Maresca menafikan keputusannya itu dibuat sebagai persiapan awal sebelum hadapi Liga Juara-Juara bertemu Bayern Munich, Khamis ini.
Maresca juga menjelaskan Joao Pedro juga belum cergas sepenuhnya untuk bermain sepenuh masa dan pengurus itu merasakan adalah lebih baik untuk merehatkan pemain itu sekiranya belum mampu untuk bermain pada tahap 100 peratus.
“Jika saya memikirkan tentang Bayern Munich, Joao pasti akan berada di bangku simpanan namun dia tetap bermain. Apabila adanya banyak perlawanan, kami perlu merancang dengan pilihan berbeza.
“Untuk Reece, dia bermain dua kali dengan pasukan kebangsaan. Cole pula tidak cergas untuk memulakan perlawanan dan itulah sebab saya hanya memasukkannya sebagai pemain gantian.
“Apabila Cole cergas, kami pastinya berasa gembira. Saya sudah nyatakan perkara ini banyak kali, apabila Cole berada dalam pasukan, kami pasti akan menjadi pasukan yang lebih baik,” katanya.
Pada perlawanan semalam, Fabio Carvalho muncul wira Brentford apabila meledak gol penyamaan pada masa kecederaan babak kedua.
Terdahulu, Kevin Schade terlebih dulu meletakkan Brentford di depan namun Palmer dan Moises Carcedo menghasilkan kedua-dua gol buat The Blues. – AGENSI
The post EPL: Maresca pertahan keputusan simpan bintang appeared first on Kosmo Digital.