Auto Added by WPeMatico

![]()
LONDON – Newcastle United berdepan kebimbangan menjelang pertemuan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang West Ham di Stadium London malam ini apabila dua pemainnya, Lewis Hall dan Will Osula masih belum cergas sepenuhnya.
Pengurus pasukan, Eddie Howe mengesahkan kedua-dua pemain itu belum pasti dapat diturunkan selepas sesi latihan terakhir kelmarin, sekali gus memberi dilema kepada barisan kejurulatihan Magpies yang mahu mengekalkan momentum kemenangan.
Newcastle memburu kemenangan berturut-turut dalam EPL buat kali pertama sejak April lalu selepas menumpaskan Tottenham Hotspur dan Fulham, selain mengharungi minggu yang positif dengan prestasi konsisten di semua kejohanan.
Rekod juga menyebelahi Newcastle yang tidak tewas dalam enam kunjungan terakhir ke Stadium London, termasuk kemenangan 1-0 menerusi jaringan tunggal Bruno Guimaraes pada Mac lalu.
Bagaimanapun, fokus kini terarah kepada tahap kecergasan Osula yang bergelut dengan kecederaan buku lali.
“Kami masih memantau keadaan Will Osula. Dia belum pulih sepenuhnya dan kami akan lihat keadaannya hari ini,” kata Howe.
Osula sebelum ini kerap digunakan sebagai penyerang kedua di belakang Nick Woltemade dan berjaya memberi impak meskipun beraksi sambil menahan kesakitan.
Sementara itu, Hall yang cedera ketika menentang Union Saint-Gilloise awal Oktober dilihat semakin hampir untuk kembali bersama skuad utama, namun Howe memerlukan nasihat pasukan perubatan sebelum membuat keputusan. – AGENSI
The post EPL: Newcastle bimbang dua tonggak cedera appeared first on Kosmo Digital.