Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Sindiket pemalsuan cap keselamatan imigresen yang didalangi warga tempatan untuk membantu warga asing tinggal lama dalam negara tumpas dalam serbuan Ops Serkap di Seri Kembangan, di sini awal pagi semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, sindiket berkenaan dipercayai menawarkan khidmat pemalsuan cap pengesahan imigresen sejak dua tahun lalu kepada warga Vietnam, Indonesia dan Thailand.
Menurutnya, kegiatan tidak bermaruah itu dibongkar selepas Jabatan Imigresen (JIM) menerima risikan mengenai dua lelaki tempatan yang menaiki bas dari Terminal Bas Larkin, Johor Bahru menuju ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur kira-kira pukul 12 tengah malam.
“Mereka sanggup membayar antara RM2,500 hingga RM3,000 bagi satu dokumen palsu tanpa menyedari bahawa cap keselamatan diberikan itu adalah palsu.
“Dalam serbuan itu, pasukan serbuan menemui lapan pasport milik warga Vietnam dan dua cap keselamatan dipercayai palsu yang menjadi ‘senjata’ utama sindiket untuk memperdaya mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, sepasukan pegawai penguat kuasa yang sudah ‘memerangkap’ pergerakan mereka mengekori pasangan suspek hingga ke sebuah rumah yang dipercayai menjadi sarang operasi sindiket terbabit.
Katanya, serbuan mengejut itu bukan sahaja menamatkan ‘bisnes gelap’ mereka, malah membawa kepada penahanan tujuh individu iaitu tiga lelaki dan seorang wanita tempatan serta tiga wanita Vietnam berusia lingkungan antara 20 hingga 35 tahun.
Susulan itu, semua suspek tempatan ditahan untuk siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966, manakala tiga warga Vietnam terbabit ditahan di Depot Imigresen Putrajaya.
Tambahnya, JIM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melindungi atau menggaji warga asing tanpa dokumen sah dan akan terus memburu saki-baki rangkaian sindiket yang masih bebas. – KOSMO! ONLINE
The post Sindiket cap imigresen palsu RM3,000 tumpas appeared first on Kosmo Digital.