Auto Added by WPeMatico

JOHOR BAHRU – Sebanyak 270 kenderaan mewah disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana didapati tidak memiliki cukai jalan (LKM) dan insurans kenderaan yang sah dalam Ops Luxury yang dilancarkan di seluruh negara, sejak bulan lalu.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, antara kenderaan mewah yang disita itu antaranya adalah kepunyaan selebriti, pempengaruh dan ahli perniagaan termasuk warganegara asing.
Beliau berkata, dalam tempoh operasi selama dua minggu itu, Kuala Lumpur merekodkan jumlah sitaan tertinggi dan antara kenderaan mewah yang disita ialah Ferrari, Lamborghini atau Rolls-Royce.
“Ops Luxury yang diadakan di seluruh negara sejak 1 Julai lalu bagi menahan dan mengambil tindakan kepada semua kenderaan mewah yang tidak mempunyai cukai jalan serta insurans.
“Kenderaan mewah tersebut akan terus berada di premis JPJ negeri masing-masing selagi mana pemiliknya tidak menjelaskan saman yang dikenakan, memperbaharui cukai jalan termasuk insurans,” katanya pada sidang akhbar di JPJ Negeri Johor di Taman Daya, di sini, kelmarin.
Aedy Fadly berkata, dalam Ops Luxury di Johor, JPJ menahan sebanyak 11 kenderaan mewah termasuk sebuah Lamborghini Huracan dengan cukai jalan bernilai RM12,000 setahun.
Tambahnya, dalam operasi sama di Kuala Lumpur, JPJ turut menyita sebuah Rolls-Royce yang cukai jalannya bernilai RM29,000 setahun.
“Antara alasan yang kerap diberikan pemilik kenderaan mewah itu adalah mereka terlupa, namun ada juga yang sengaja tidak membayar walaupun mampu. Paling lama yang kita kesan tidak membayar cukai jalan adalah selama lebih tiga tahun,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post 270 kenderaan mewah ditahan dalam Ops Luxury appeared first on Kosmo Digital.