Auto Added by WPeMatico

BESUT – Biarpun sudah tiga bulan berlalu, rumah Nurly Shahirah Azman yang maut dalam nahas ngeri melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak terus dikunjungi ramai tetamu.
Kunjungan tetamu di rumah Allahyarham di Kampung Gong Pasir, di sini mencecah 500 orang sehari sejak pintu kediamannya kembali dibuka setelah ibu bapa penuntut itu pulang ke tanah air daripada mengerjakan ibadah umrah pada minggu lalu.
Bapa Nurly, Azman Mohamad, 63, berkata, keluarganya turut menerima kunjungan tetamu dari Sulawesi dan Palembang, Indonesia beberapa hari lalu.
“Saya terkejut dan tidak menyangka kisah anak bongsu saya (Nurly) turut diketahui masyarakat di Indonesia. Mereka tergerak hati datang dari jauh untuk menyantuni kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Pasir di sini semalam.
Azman berkata, sepanjang kunjungan singkat itu, tetamu-tetamu dari Indonesia berkenaan meluangkan masa untuk melihat sendiri naskhah al-Quran tulisan tangan Nurly selain menziarahi pusara anak bongsunya.
Katanya, selain Indonesia, keluarganya turut menerima tetamu dari Thailand khususnya yang menetap di wilayah selatan.
“Sebahagian tetamu dari Thailand tersebut hadir bersama rombongan dengan menaiki bas yang disewa khas. Kami sekeluarga terbuka tangan meraikan semua tetamu termasuk dari seluruh negara,” katanya.
Azman bagaimanapun menyatakan mereka telah membuat persiapan bagi menyambut tambahan tetamu pada musim cuti persekolahan sehingga hujung minggu ini.
Nurly merupakan salah seorang daripada 15 korban nahas bas persiaran yang membawa penuntut UPSI pulang ke kampus di Tanjung Malim, Perak selepas bercuti sempena Hari Raya Aidiladha pada 9 Jun lalu.
Kisah gadis yang juga hafizah dan meninggal dunia dengan mendakap naskhah al-Quran menjadi tular sehingga rumahdan kuburnya menjadi perhatian ramai sejak lebih tiga bulan lalu.
The post Orang Thailand sewa bas pergi rumah Nurly appeared first on Kosmo Digital.