Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Polis sudah mengenal pasti pemilik nombor telefon yang menghantar mesej ugutan kepada isteri bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, siasatan mendapati nombor telefon itu telah didaftarkan di atas nama individu warga asing.
“Nombor telefon itu didaftarkan atas nama warga asing dan kita masih mengesan individu tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, di sini hari ini.
Mengulas mengenai kes anak lelaki Rafizi diserang, Mohd Khalid berkata, setakat ini, pihaknya sudah merakam keterangan seramai 19 individu bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian juga sudah diambil untuk disiasat.
“Kita juga sedang mengenal pasti beberapa sudut siasatan berkaitan kes berkenaan,” katanya.
Menurutnya, polis masih menunggu laporan kimia daripada hospital berkaitan cecair yang disuntik kepada anak Rafizi.
Bagaimanapun, katanya, kanak-kanak tersebut dalam keadaan baik dan masih dalam pemantauan doktor.
Dalam kejadian pukul 2 petang, 13 Ogos lalu, anak Ahli Parlimen Pandan berusia 12 tahun itu, dipercayai diserang dua lelaki bermotosikal di sebuah pusat beli-belah di putrajaya.
Rafizi dalam kenyataan dilaporkan berkata, anaknya diserang dengan cara diheret dan disuntik dengan jarum suntikan di pusat beli-belah berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post Nombor telefon ugut isteri Rafizi didaftar atas nama warga asing appeared first on Kosmo Digital.