Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Menjelang malam Nisfu Syaaban 1447 Hijrah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh umat Islam negara ini untuk memperbanyakkan zikir dan doa, selain memohon keampunan Allah SWT agar dilepaskan daripada segala bentuk kesusahan, bala dan bencana.
Menurut beliau, bersempena malam Nisfu Syaaban, itu merupakan detik penting untuk umat Islam melakukan muhasabah diri, di samping membersihkan hati dan jiwa sebelum memasuki bulan Ramadan yang semakin hampir.
“Tiada yang lebih bererti selain persiapan kerohanian yang rapi.
“Kita akan kembali menjalani madrasah Ramadan dengan cita-cita agar amalan kita menjadi lebih baik berbanding sebelumnya,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Anwar berkata, amalan ibadah yang dilakukan secara istiqamah bukan sahaja dapat memupuk ketenangan jiwa, malah membantu membersihkan hati daripada sifat hasad dengki, kebencian dan dendam yang boleh merosakkan keharmonian masyarakat.
Tambah beliau, persiapan menyambut Ramadan tidak seharusnya terhad kepada aspek luaran semata-mata, sebaliknya perlu melibatkan pembinaan jiwa dan rohani demi mencapai kebahagiaan yang hakiki dan berpanjangan.
Dalam kenyataan sama, Anwar turut mengajak umat Islam menghayati firman Allah SWT dalam Surah al-Hashr ayat 10, yang menyeru agar umat Islam saling mendoakan keampunan dan memelihara hati daripada prasangka serta kebencian sesama mukmin.
Malam Nisfu Syaaban lazimnya disambut oleh umat Islam dengan amalan doa, zikir serta memohon keampunan sebagai persediaan menyambut bulan Ramadan yang penuh keberkatan.-KOSMO! ONLINE.
The post Nisfu Syaaban, PM rayu umat Islam bersihkan hati dan jauhi hasad dengki appeared first on Kosmo Digital.