Auto Added by WPeMatico

![]()
KULIM – Cadangan Datuk Seri Rafizi Ramli supaya pihak polis mengklasifikasikan siasatan kes serangan melibatkan anaknya sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) merupakan pendirian peribadi Ahli Parlimen Pandan tersebut dan bukan keputusan rasmi pihak berkuasa.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau tidak mahu membuat sebarang arahan yang bersifat konklusif berhubung kes itu kerana ia dalam bidang kuasa profesional pasukan polis.
Katanya, sebarang tindakan atau saranan daripadanya juga dikhuatiri akan mengganggu siasatan pihak berkuasa itu dalam kes terbabit.
“Itu cadangan beliau (Rafizi), yang paling penting bila ada satu insiden kemudian laporan polis dibuat, tugas hakiki polis adalah siasat dan penyiasatan ini akan dilakukan sepanjang masa dengan perkembangannya bergantung kepada apa-apa petunjuk baru.
“Jadi sama ada pengkelasannya itu hendak dimasukkan sebagai no further action pada pihak ini, saya serahkan kepada profesional pasukan polis. Jadi kita biarkan dulu,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan (BWI) Fasa 2 Daerah Kulim, di sini hari ini.
Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi pada semalam bersedia mengusulkan kepada kerajaan dan pihak berkuasa supaya siasatan kes serangan terhadap anaknya yang memasuki bulan keenam dihentikan.
Beliau memaklumkan akan menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Saifuddin dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya siasatan dihentikan jika tiada perkembangan dalam masa terdekat.
Sementara itu, Saifuddin terus melahirkan rasa simpati terhadap insiden tersebut dan memaklumkan bahawa beliau sendiri telah menghubungi Rafizi bagi bertanyakan khabar bukan sahaja ketika kejadian berlaku, malah selepas itu.
Pada 13 Ogos tahun lalu, Rafizi pada sidang akhbar mendedahkan isterinya menerima mesej berbaur ugutan iaitu ‘diam, jika teruskan, AIDS,’ selepas anak lelaki mereka yang berusia 12 tahun diserang.
Pada hari sama, polis mengesahkan kejadian serangan terhadap anak lelaki Rafizi di sebuah pusat membeli-belah di Putrajaya pada pukul 2 petang, namun kanak-kanak itu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal. – KOSMO! ONLINE
The post Status NFA kes serangan anak Rafizi bidang kuasa polis appeared first on Kosmo Digital.