Auto Added by WPeMatico

NANTES – Juara Eropah, Paris Saint-Germain (PSG) membuka langkah kanan untuk mempertahankan gelaran Ligue 1 Perancis meskipun sekadar menang tipis 1-0 ke atas Nantes awal pagi semalam.
Gol tunggal perlawanan di Stade de la Beaujoire itu hadir menerusi rembatan pemain tengah Portugal, Vitinha yang terkena pertahanan lawan, Chidozie Awaziem sebelum menewaskan penjaga gol, Anthony Lopes pada minit ke-67.
Biarpun meraih tiga mata, namun antara faktor PSG dilihat agak bergelut adalah disebabkan tindakan pengendalinya, Luis Enrique membuat tujuh pertukaran dalam kesebelasan utama ketika menewaskan Tottenham Hotspur pada Piala Super Eropah minggu lalu.
Begitupun, PSG ternyata terlalu kuat buat Nantes yang kini dibimbing oleh jurulatih baharu dari Portugal, Luis Castro.
“Saya gembira kerana objektif pertama adalah kemenangan dan kami layak untuk tiga mata. Kami mengawal permainan di tempat lawan walaupun pada babak pertama sukar menembusi pertahanan mereka yang begitu rapat,” kata Enrique.
Dalam aksi itu, pertahanan tengah Ukraine, Illia Zabarnyi membuat penampilan sulung selepas dibeli daripada Bournemouth dengan harga €66 juta (RM324.46 juta) dan beraksi penuh selama 90 minit.
“Fizikal dan teknikalnya sempurna dengan gaya permainan kami. Dia (Zabarnyi) selesa dengan bola, kuat dalam pertarungan di udara dan saya rasa dia bermain sangat baik,” jelas Enrique.
Selepas ini, PSG akan meneruskan saingan liga domestik dengan menanti kunjungan Angers di laman sendiri, Parc des Princes pada Sabtu ini. – AGENSI
The post Tujuh pertukaran punca PSG ‘bergelut’ appeared first on Kosmo Digital.