Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Pengarah dan pemuzik sensasi, Wee Meng Chee atau Namewee, berdepan dua pertuduhan berkaitan dadah selepas ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah hotel di ibu negara, bulan lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, serbuan dijalankan oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada pukul 4.30 petang, 22 Oktober lalu.
“Pemeriksaan di dalam bilik hotel terbabit menemui sembilan biji pil berwarna biru disyaki pil ecstasy dengan anggaran berat 5.12 gram.
“Suspek berusia 42 tahun itu kemudiannya dibawa ke IPD Dang Wangi untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, hasil ujian air kencing mendapati Namewee positif empat jenis dadah iaitu Amphetamine, Methamphetamine, Ketamin dan THC.
“Suspek direman selama dua hari untuk siasatan sebelum dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur pada 24 Oktober lalu,” katanya.
Fadil berkata, Namewee menghadapi dua pertuduhan iaitu memiliki dadah di bawah Seksyen 39A(1) dan menggunakan dadah di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Suspek mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan dan mahkamah membenarkan jamin RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin tempatan.
“Tarikh sebutan mahkamah akan datang pada 18 Disember depan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
The post Namewee ditahan polis, positif dadah appeared first on Kosmo Digital.