Auto Added by WPeMatico

BESUT – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menghulurkan bantuan keseluruhan RM49,500 kepada keluarga 42 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam nahas bas persiaran di Gerik, Perak pada Isnin lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Datuk Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan berkata, setiap keluarga 15 mangsa yang terkorban menerima bantuan RM1,500 manakala RM1,000 bagi pelajar yang cedera.
“Kesemua pelajar UPSI yang terlibat merupakan menerima zakat sama ada asnaf fakir miskin dan fisabillah.
“Semakan kami juga mendapati 13 daripada 15 pelajar meninggal dunia merupakan keluarga asnaf fakir miskin yang sedia berada dalam pemerhatian Maidam,” katanya di sini semalam.
Terdahulu beliau menyantuni 14 daripada 15 keluarga pelajar UPSI meninggal dunia yang menetap di sekitar daerah ini.
Ahmad Azrin berkata, sembilan daripada 27 mangsa yang cedera juga merupakan keluarga penerima zakat kategori asnaf fakir miskin.
Beliau berkata, kebajikan kesemua keluarga pelajar UPSI terlibat akan terus dijaga Maidam.
“Kami juga akan meninjau bantuan lain yang boleh diberikan kepada keluarga mangsa ini. Kadang-kala memerlukan keperluan lain selain bantuan kewangan bulanan dan tahunan diberikan.
“Contohnya pengorbanan adik-beradik salah seorang mangsa cedera yang terpaksa menolak tawaran melanjutkan pelajaran yang di luar pengetahuan Maidam sebelum ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Nahas UPSI: Maidam hulur bantuan kepada keluarga 42 mangsa appeared first on Kosmo Digital.