Auto Added by WPeMatico

KOTA KINABALU – Saksi kelapan inkues kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir, Azhari Abd Sagap, 31, memaklumkan Mahkamah Koroner anak muridnya itu menangis serta menafikan perbuatan mencuri sebelum kali terakhir dilihat menuju ke tandas.
Azhari yang juga Ketua Warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha berkata, dirinya menerima salinan imbasan pengakuan bertulis daripada lima pelajar berhubung perkara terbabit.
Menurutnya, dokumen berkenaan ditulis selepas beliau mengarahkan warden untuk menyiasat perkara itu pada 16 Julai lalu sejurus Zara Qairina dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE).
“Pada malam sebelum Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri, seorang pelajar tingkatan satu ada membuat aduan kepada ketua dorm yang dia kehilangan barang kepunyaannya.
“Sejurus itu, Zara dipanggil oleh ketua dorm berkenaan serta ditanya sama ada dia mencuri barang itu atau tidak. Dia menafikannya dan bersumpah ‘wallahi’,” katanya ketika prosiding di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Dalam pada itu, Azhari menyatakan pelajar-pelajar turut menyelongkar lokar serta beg Zara Qairina sebelum dikatakan menemui pin Jalur Gemilang milik ketua dorm itu.
Bagaimanapun, Zara Qairina sekali lagi menafikan mengambil barang itu.
“Zara dikatakan terus meninggalkan bilik itu sambil menangis dan menjerit: ‘Aku tidak mencuri bah, bodoh’. Saya dimaklumkan mengenai perkara ini oleh seorang pelajar tingkatan satu.
“Dia keluar dari bilik itu sambil menangis dan pergi ke tandas. Itu dikatakan kali terakhir pelajar-pelajar melihat dia,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Zara Qairina bersumpah ‘wallahi’ nafi mencuri, menangis ke tandas appeared first on Kosmo Digital.