Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih meneliti isu membabitkan dakwaan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh menghina sahabat Nabi Muhammad SAW.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya kini menunggu maklumat tambahan daripada pihak berkaitan sebelum tindakan lanjut diambil.
“Perkara itu masih dalam perhatian dan tindakan kita. Kita juga masih menunggu maklumat lanjut daripada pihak berkaitan,” katanya selepas Majlis Perasmian Penutupan PDRM Special Dialogue V 2026 di sini hari ini.
Sebelum ini, tular satu rakaman video memaparkan Nik Muhammad Zawawi didakwa mengeluarkan kenyataan menyentuh Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA dan Saidina Umar al-Khattab RA ketika menyampaikan ceramah politik di Kuala Terengganu pada hujung minggu lalu.
Susulan itu, beberapa laporan polis dibuat selain gesaan supaya siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.
Terdahulu, Nik Muhammad Zawawi dilaporkan tampil memohon maaf dan mengakui kurang cermat ketika mengolah serta menyampaikan maklumat dalam ceramah berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post PDRM tunggu maklumat lanjut isu dakwaan hina sahabat Nabi appeared first on Kosmo Digital.
