Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Konsensus Lima Perkara, isu kemanusiaan selain jenayah rentas sempadan melibatkan Myanmar antara perkara penting yang akan dibawa dalam perbincangan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Ahad ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ASEAN mengambil pendirian bahawa Konsensus Lima Perkara merupakan asas pengurusan terhadap masalah di Myanmar sekali gus dalam membantu negara tersebut.
“Kita tidak akan berganjak dengan apa jua, kita akan pastikan supaya perbincangan asas untuk membantu Myanmar. Asas untuk Myanmar kembali kepada keadaan biasa, mesti melalui Konsensus Lima Perkara ini. Tak susah sangat kerana apa kita hendak supaya diadakan dialog, membenarkan bantuan kemanusiaan yang sampai dan macam-macam lagi, selain kembali kepada dialog dengan semua-semua pihak,” katanya.
Beliau selepas mesyuarat Majlis Perundingan Tidak Formal Lanjutan Pelaksanaan Persetujuan Lima Perkara sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Mohamad berkata, ASEAN juga kesal berikutan bantuan kemanusiaan untuk rakyat di Myanmar masih berdepan sekatan dan gangguan.
“Kita amat kesal bantuan kemanusiaan itu masih lagi terganggu, masih lagi banyak tidak sampai ke tempat-tempat yang nak kita hantar kerana adanya beberapa sekatan-sekatan sehingga menyebabkan ia tidak smapai.
“Justeru, kita minta pentadbiran Myanmar membenarkan supaya bantuan kemanusiaan ini sampai. Itu juga merupakan tonggak kepada Konsensus Lima Perkara,” katanya.
Berhubung isu jenayah rentas sempadan, beliau menegaskan ia juga satu masalah yang telah pun merebak dan mendatangkan banyak mudarat dengan negara-negara berjiran dengan Myanmar.
“Bukan sahaja negara berjiran, tetapi banyak negara lain yang rakyatnya terlibat dengan jenayah rentas sempadan.
“Kita nak supaya kerajaan Myanmar dan juga pihak-pihak bertanggungjawab di Myanmar mesti menghentikan keadaan ini kerana telah menjadi masalah kepada negara-negara dalam ASEAN khususnya,” tegas Mohamad.
Beliau berkata, ASEAN juga mendesak Myanmar menghentikan mangsa jenayah rentas sempadan terhadap rakyat masing-masing.
Menyentuh pilihan raya di Myanmar, Mohamad berkata, ia akan tetap diadakan pihak pentadbir dan ASEAN mendesak ia mesti dilaksanakan dengan adil, telus serta inklusif disertai oleh semua rakyat. – KOSMO! ONLINE
The post ASEAN ke-47: Isu kemanusiaan Myanmar, jenayah rentas sempadan dibangkitkan Ahad ini appeared first on Kosmo Digital.