Auto Added by WPeMatico

ALOR SETAR – Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) diiktiraf sebagai sayap baharu parti itu, setanding dengan Dewan Ulama, Dewan Muslimat, Dewan Pemuda dan Assabiqun.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pengiktirafan tersebut berikutan pindaan perlembagaan parti yang diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) berkuat kuasa 8 Ogos lalu.
Katanya, pindaan itu membolehkan DHPP menerima keahlian bersekutu terdiri daripada warganegara Malaysia yang beragama selain Islam.
“Semua ahli DHPP sebelum ini yang berstatus rakan Pas akan secara automatik diserap menjadi ahli bersekutu.
“DHPP kini merupakan sayap rasmi bersama Assabiqun, Ulama, Muslimat dan Pemuda,” katanya ketika berucap pada Muktamar Pas Ke-71 di Kompleks Pas, di sini hari ini.
Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan Pas kini mencatatkan keahlian seramai 1.3 juta orang dengan purata kemasukan baharu antara 2,000 hingga 3,000 setiap bulan secara konsisten.
“Pas menerima kemasukan ahli baharu yang amat menggalakkan dan keahlian Pas kini mencecah sekitar 1.3 juta orang,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Penyokong bukan Islam kini sayap Pas appeared first on Kosmo Digital.