Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Seorang wanita tidak menyangka dapat bertemu semula bapa kandungnya setelah mereka terpisah sejak 29 tahun yang lalu.
Hanya berbekalkan sijil lahir terkandung nama penuh dan alamat, Norsikin Abdullah, 29, tekad mencari bapanya sejak dia berusia 19 tahun lagi.
Menurut wanita yang juga suri rumah itu, kali terakhir dia melihat bapanya adalah pada usianya setahun sebelum ibu bapanya berpisah dan membawa haluan masing-masing.
Ujarnya, sejak itu dia menetap bersama ibunya di Daro Mukah, Sarawak dan tidak pernah berjumpa atau berhubung langsung dengan bapanya.
“Sampailah saya dewasa, saya rindu teramat dengan bapa. Jadi sejak saya umur 19 tahun saya mulakan pencarian. Namun tidak berjaya, sampaikan saya berkahwin pada dua tahun lepas pun terpaksa gunakan wali hakim.
“Sehinggalah pada hujung tahun lalu, kawan-kawan tolong sebarkan dalam kumpulan WhatsApp kampung bapa menetap iaitu di Serayan, Ulu Sematan. Kemudian Allah permudahkan, ada orang beri nombor bapa,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Sebelum ini video pertemuan Norsikin dan bapanya di sebuah restoran di Kuching tular di akaun TikTok sehingga mendapat lebih 769,000 tontonan.
Di dalam video itu kelihatan Norsikin bersalaman sebelum memeluk erat bapanya setelah 29 tahun tidak bertemu.
Norsikin berkata, walaupun perasaannya bercampur sedih serta gembira tidak terkata sebelum pertemuan tersebut, namun rasa rindu yang membuak-buak membuatkan dirinya tekad untuk berjumpa bapanya.
Jelasnya, selama ini hasratnya untuk mencari bapa sering tertangguh kerana ingin menjaga perasaan ibunya di samping sibuk dengan tuntutan kerja.
“Soalan pertama bapa tanya bila berjumpa, ‘Kitak (awak) Norsikin ke’, sebab dia yang bagi nama saya, jadi sebab itu dia tahu walaupun dia dah tak berapa cam saya sebab muka dah berubah.
“Dia (bapa) pun sedih dan gembira, saya baru tahu dia pun berusaha cari saya dekat Facebook. Nak pergi kampung saya (Daro Mukah) dia dah tak tahu sebab jauh,” katanya.
Sementara itu, Norsikin sempat menitipkan pesanan kepada anak-anak yang senasib dengannya supaya tidak berputus asa mencari ibu bapa selagi mereka masih hidup.
Katanya, dengan teknologi kini, pencarian ahli keluarga yang hilang menjadi semakin mudah, namun memerlukan tekad dan usaha berterusan.
“Hal lama antara mereka (ibu bapa) biarkan berlalu, kita sebagai anak-anak bina kehidupan dan memori baru dengan ibu bapa yang semakin menua,” katanya.
The post 29 tahun terpisah, akhirnya Norsikin jumpa bapa appeared first on Kosmo Digital.