Auto Added by WPeMatico

KEMAMAN – Seorang lelaki maut manakala lima lain termasuk isteri dan dua anaknya cedera ringan selepas kenderaan jenis Mitsubishi Storm yang mereka naiki dirempuh sebuah lori membawa muatan ayam di Kilometer 250.8, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) berhampiran Plaza Tol Jabor, di sini, hari ini.
Dalam kemalangan pukul 7.41 pagi itu, mangsa, Ahmad Shuhaimi Kadir, 50, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, sewaktu kejadian, empat beranak tersebut dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Impianku, Kuantan, Pahang dari Kuala Terengganu.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dikatakan tiba-tiba memberhentikan kenderaan jenis Mitsubishi Storm dipandunya di tepi lebuh raya.
“Sebuah lori dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun yang dalam perjalanan menghantar bekalan ayam mentah ke Kuantan dari Chukai di sini berada di belakang gagal mengelak lalu merempuh kenderaan dinaiki mangsa sekeluarga,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Razi berkata, impak rempuhan itu menyebabkan kenderaan jenis Mitsubishi Storm terbalik.
Beliau berkata,mayat Ahmad Shuhaimi telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.
“Pemandu dan kelindan lori menerima rawatan sebagai pesakit luar di unit kecemasan hospital sama manakala isteri dan dua anak mangsa pula dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki maut, Mitsubishi Storm dirempuh lori ayam appeared first on Kosmo Digital.