Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Impian pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli untuk menamatkan musim sulungnya sebagai naib juara pada Kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup 2025 tidak kesampaian selepas terjatuh pada perlumbaan penutup tirai di Litar Misano, hari ini.
Pelumba kelahiran Terengganu itu mempamerkan tunggangan yang meyakinkan selepas bermula dari petak keenam dan berjaya menempatkan diri dalam kelompok hadapan, malah sempat bersaing di kedudukan ketiga pada satu ketika.
Namun, malang tidak berbau apabila pelumba berusia 18 tahun itu melakukan kesilapan dan terjatuh ketika saingan berbaki tujuh pusingan untuk ditamatkan, sekali gus melenyapkan perjuangannya untuk menamatkan saingan sebagai naib juara.
Insiden itu meranapkan peluangnya untuk mengesahkan kedudukan kedua keseluruhan, apatah lagi Hakim mendahului pencabar terdekatnya, Veda Pratama dari Indonesia dengan kelebihan satu mata sebelum perlumbaan bermula.
Kemalangan itu membuka laluan buat Veda untuk merampas kedudukan naib juara selepas pelumba itu menamatkan saingan di tempat kelima, mengumpul 181 mata keseluruhan.
Hasil keputusan tersebut, Hakim terpaksa akur menamatkan musim di tangga ketiga dengan kutipan 171 mata dan gelaran juara keseluruhan menjadi milik pelumba Sepanyol, Brian Uriarte, yang mengungguli saingan dengan kutipan cemerlang 236 mata. – KOSMO! ONLINE
The post Impian Hakim Danish tidak kesampaian appeared first on Kosmo Digital.