Auto Added by WPeMatico

MERSING – Helah seorang lelaki memberi alasan hanya mahu menumpang cas telefon ketika serbuan sepasukan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj) tidak berhasil apabila dia dicekup berkhalwat dengan seorang gadis di dalam sebuah bilik hotel bajet di bandar ini, awal pagi tadi.
Dalam serbuan yang dijalankan pada pukul 1 pagi itu, pasangan itu yang dicekup itu masing-masing berusia 26 dan 19 tahun.
Jurucakap Jainj berkata, pemeriksaan dilakukan selepas menerima maklumat awam berhubung kegiatan mencurigakan di premis penginapan tersebut.
“Sebaik pintu bilik dibuka oleh wanita berkenaan yang berpakaian t-shirt dan seluar panjang tanpa tudung, anggota penguatkuasa menemui seorang lelaki hanya berseluar pendek tanpa berbaju sedang tidur di atas katil.
“Lelaki tersebut tidak menyedari kehadiran penguatkuasa dan terpaksa dikejutkan beberapa kali sebelum diminta membasuh muka bagi memastikan dia benar-benar sedar,” katanya di sini hari ini.
Hasil siasatan awal mendapati kedua-duanya masih bujang dan bekerja di kedai yang sama di bandar berkenaan.
Pasangan terbabit dibawa ke pejabat agama untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.-KOSMO! ONLINE
The post ‘Saya tumpang cas telefon tetapi tertidur tunggu bateri penuh’ appeared first on Kosmo Digital.