Auto Added by WPeMatico

![]()
BANGKOK – Rakyat Thailand akan mengundi Ahad ini dalam pilihan raya umum, menyaksikan pertembungan antara reformis popular yang menang sebelum ini dan pemimpin konservatif yang akhirnya menjadi perdana menteri.
Kerajaan baharu negara Asia Tenggara itu perlu berdepan pertikaian sempadan berpanjangan dengan Kemboja yang meletus menjadi pertempuran maut sebanyak dua kali tahun lalu selain membanteras rangkaian penipuan siber transnasional berpangkalan di rantau itu yang menyebabkan kerugian berbilion-bilion dolar.
Pertumbuhan ekonomi lemah dengan sektor pelancongan yang masih belum pulih ke paras tertinggi seperti sebelum era Covid-19 juga menjadi cabaran kerajaan seterusnya. Thailand juga berdepan saingan sengit daripada Vietnam yang kini menarik lebih banyak pelaburan langsung asing.
Tiada parti politik dijangka menang majoriti mutlak. Penganalisis-penganalisis berkata, pilihan raya itu tidak mustahil mengulangi keputusan pilihan raya umum terakhir kurang tiga tahun lalu.
Ketika itu, Parti Rakyat mencatat undi terbesar dan kerusi Parlimen terbanyak, tetapi calonnya disekat daripada jawatan perdana menteri dan parti itu kemudiannya dibubarkan.
Sebaliknya, parti Pheu Thai diasaskan bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra yang menduduki tempat kedua, membentuk kerajaan campuran dengan parti konservatif, i Bhumjaithai, namun perdana menterinya disingkirkan oleh perintah mahkamah.
Beliau digantikan oleh anak perempuan Thaksin, Paetongtarn Shinawatra yang juga disingkirkan oleh mahkamah sebelum Parlimen memilih bekas rakan gabungannya, Anutin Charnvirakul, pada September 2025 sebagai perdana menteri ketiga negara itu dalam masa hanya dua tahun.
“Pilihan raya Thailand secara efektif telah terpisah daripada pembentukan kerajaan.
“Ini bukan perkara baik untuk negara di mana pengalaman demokrasinya bergolak,” kata pakar sains politik, Napon Jatusripitak.
Sejarah politik Thailand penuh dengan kudeta, protes jalanan berdarah dan larangan kehakiman terhadap perdana menteri serta parti politik.
Tinjauan pendapat menunjukkan Parti Rakyat adalah peneraju utama dengan sokongan kira-kira satu pertiga pengundi di Thailand.
Di tempat kedua ialah Bhumjaithai pimpinan Anutin. Beliau ialah pemimpin konservatif yang memperjuangkan ‘penghalalan’ ganja. Penganalisis-penganalisis menjangkakan beliau boleh mengekalkan kedudukannya dengan sekali lagi bersekutu dengan Pheu Thai.
Parti politik Thailand paling berjaya pada era moden, Pheu Thai pula jatuh kedudukan selepas Paetongtarn dipecat oleh Mahkamah Perlembagaan kerana cara beliau mengendalikan pertikaian dengan Kemboja, dan Thaksin pula menjalani hukuman penjara setahun atas tuduhan rasuah. – AFP
The post Rakyat Thailand mengundi Ahad ini appeared first on Kosmo Digital.