Auto Added by WPeMatico

BRUSSELS – Pelari pecut Amerika Syarikat (AS), Melissa Jefferson-Wooden membuktikan dirinya sebagai kuasa baharu 100 meter (m) wanita apabila menewaskan nama-nama besar dunia di Liga Berlian Brussels awal pagi semalam.
Kemenangan di Belgium itu mengukuhkan statusnya sebagai pilihan utama untuk meraih pingat emas pada Kejohanan Olahraga Dunia 2025 di Tokyo, Jepun bulan depan.
Pelari berusia 24 tahun itu yang juga pemenang pingat gangsa Olimpik Paris 2024, mencatat masa 10.76 saat (s) sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah, meninggalkan juara dunia dan rakan senegara, Sha’Carri Richardson (11.08s) di tempat kedua, manakala Daryll Neita dari Great Britain di kedudukan ketiga (11.15s).
Legenda pecut Jamaica, Shelly-Ann Fraser-Pryce pula menamatkan saingan di kedudukan keempat (11.17s).
Jefferson-Wooden berkata, kemenangan di Brussels adalah tonik terbaik menjelang kejohanan dunia yang berlangsung pada 13 hingga 21 September nanti.
“Satu perasaan yang menakjubkan dan kejayaan ini adalah bukti semua kerja keras saya lakukan tahun ini.
“Saya masih bertanding sebagai pelari yang dicabar kerana saya bukan juara dunia atau juara Olimpik. Saya belum ada sebarang gelaran individu,” kata Jefferson-Wooden.
Walaupun catatan kali ini jauh daripada rekod peribadi 10.65s diciptanya pada Kejohanan Trek dan Padang Amerika Syarikat bulan lalu, Jefferson-Wooden tetap dianggap sebagai pencabar utama di Tokyo nanti. – AGENSI
The post Jefferson-Wooden bakal ratu pecut baharu appeared first on Kosmo Digital.