Auto Added by WPeMatico

SEBERANG PERAI – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diminta meneliti permohonan penambahan titik akses WiFi di institut pengajian tinggi awam (IPTA) yang dikemukakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi memastikan pelajar menikmati capaian internet lebih baik.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ia susulan keberkesanan kemudahan itu dapat dimanfaatkan pelajar sekali gus menikmati kualiti capaian internet yang lebih baik.
Menurutnya, berdasarkan laporan yang telah diberikan kepada Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (MED4IR) baru-baru ini, lebih 34,000 titik akses telah siap dipasang di hampir kesemua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara.
“Jadi pihak KPT ada memohon sejumlah ‘access point’ tambahan. Setengah kampus dalam fasa pertama dan kedua, mereka tidak memasukkan permohonan (pemasangan titik akses), tetapi bila mereka lihat kampus-kampus yang telah berjaya, jadi mereka pun ingin turut bersama.
“Jadi saya telah minta supaya pihak MCMC meneliti permohonan tersebut dan kita cuba untuk laksanakan segera.
“Bagaimanapun, jumlah permohonan pemasangan titik akses itu masih belum dapat disahkan susulan kita masih perlu melakukan kajian teknikal secara terperinci terhadap lokasi-lokasi kampus terbabit,” katanya selepas mengadakan tinjauan bagi meneliti kemudahan wifi di Politeknik Seberang Perai, di Bukit Mertajam di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan terdapat 554 titik akses yang dipasang di kampus terbabit dan beliau berpuas hati dengan tahap kelajuan wifi iaitu sekitar lebih 300 megabit sesaat (Mbps). – KOSMO! ONLINE
The post MCMC diminta teliti permohonan tambahan titik akses wifi appeared first on Kosmo Digital.