Auto Added by WPeMatico

![]()
SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari tampil memohon maaf secara terbuka susulan tindakan seorang petugas pengiringnya yang didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pengguna jalan raya dalam kejadian yang tular di media sosial.
Amirudin menerusi hantaran di aplikasi Threads berkata, beliau telah meneliti video berkenaan dan kesal dengan perlakuan petugas terbabit kerana tidak mencerminkan tatakelakuan sewajarnya.
“Berhubung isu video yang tular ini, setelah semakan dilakukan, secara peribadi saya memohon maaf atas perlakuan tersebut.
“Teguran telah dibuat ke atas petugas tersebut oleh pentadbiran saya dan akan dielakkan daripada berulang lagi pada masa hadapan. Sekali lagi saya mohon maaf,” katanya.
Terdahulu, tular hantaran seorang pengguna Threads yang mendakwa dimaki hamun oleh petugas pengiring kenderaan rasmi Menteri Besar Selangor ketika berlaku kesesakan lalu lintas berhampiran sebuah plaza tol pada waktu puncak.
Menurut pengguna itu, petugas berkenaan didakwa menurunkan cermin tingkap sebuah Proton X70 sebelum sebelum menjerkah dan mengeluarkan kata-kata kesat kerana tidak memberi laluan kepada konvoi berkenaan.
Hantaran tersebut turut mempersoalkan sikap petugas pengiring berkenaan sehingga mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya, dengan rata-rata menggesa tindakan sewajarnya diambil bagi memastikan insiden seumpama itu tidak berulang. – KOSMO! ONLINE
The post MB Selangor mohon maaf isu pengiring maki pengguna jalan raya appeared first on Kosmo Digital.
