Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Taktik licik lima warga asing yang menjalankan kegiatan mencuri duit pelancong dengan menggunakan kaedah ‘magic’ di sekitar ibu kota akhirnya dipatahkan setelah ditahan polis baru-baru ini.
Modus operandi yang digunakan oleh kesemua suspek adalah meminta pelancong menunjukkan mata wang asing sebelum mengambil tanpa disedari mangsa.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya menerima satu laporan daripada seorang pelancong pada 18 Julai lalu, kira-kira 6.30 petang.
Menurutnya, mangsa didatangi sepasang lelaki dan wanita warga asing yang meminta untuk mengambil gambar di dalam kawasan Masjid Negara.
“Kemudian pengadu diminta pula untuk tunjuk wang tunai mata wang asing miliknya.
“Dalam keadaan tidak sedar, pengadu mendapati wang tunai di dalam begnya berkurangan sebanyak 600 dolar Amerika Syarikat (AS) (RM2,358.60),” katanya pada sidang akbar di Ibu Pejabat Daerah Polis Dang Wangi, di sini, hari ini.
Dalam kes berlainan, beliau berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang pelancong yang didatangi empat lelaki warga asing meminta untuk menunjukkan wang tunai mata wang asing miliknya di Jalan Bukit Bintang.
Katanya, dalam keadaan tidak sedar, mangsa mendapati wang tunai di dalam begnya berkurangan sebanyak 500 AS dolar (RM2,115.50) dan RM650.
Sehubungan itu, bertindak atas maklumat Sulizmie Affendy berkata, seramai empat lelaki dan seorang wanita warga asing berusia 20 hingga 50 tahun ditahan di sekitar Bukit Bintang dan Jalan Sultan Ismail pada 22 dan 25 Julai lalu.
Beliau berkata, pihaknya merampas pelbagai mata wang asing dari pelbagai negara yang dijumpai dalam beg dimiliki suspek dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM17,361.30.
Ujarnya, hasil siasatan mendapati, ketika melakukan kegiatan mereka, dua hingga empat suspek akan mendekati mangsa dan meminta untuk melihat mata wang.
“Dalam masa yang sama rakan kepada suspek akan tinjau beg mangsa untuk ambil apa yang boleh.
“Satu lagi kepakaran mereka ini ialah, ketika pegang mata wang mangsa, dia boleh lipat duit tu dan ambil tanpa disedari mangsa. Saya percaya suspek tak gunakan teknik pukau, tapi lebih kepada buat mangsa menjadi leka,” katanya.
Tambah Sulizmie Affendy, kesemua suspek menyewa di hotel bajet atau rumah ditahan luar Kuala Lumpur dan sering berpindah-randah.
“Mereka juga dipercayai masuk ke Malaysia dari Bukit Kayu Hitam sejak September tahun lalu dan tiada dokumen pengenalan diri. Mereka melakukan kegiatan tersebut demi kelangsungan hidup di ibu kota.
“Kesemua suspek menyasarkan pelancong di Petaling Street, Bukit Bintang dan beberapa kawasan tumpuan di ibu kota,” katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan seterusnya ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 selama (14) hingga 9 Ogos depan. – KOSMO! ONLINE
The post Geng ‘magic’ curi duit pelancong di KL tumpas appeared first on Kosmo Digital.