Auto Added by WPeMatico

MARSEILLE – Kecemerlangan Pierre-Emerick Aubameyang yang kembali menyarung jersi Marseille dengan meledak dua gol pantas dalam tempoh tiga minit dicemari insiden pergaduhan antara Mason Greenwood dan Tyrone Mings.
Aubameyang yang membuat penampilan pertama buat Marseille selepas tamat kontrak dengan Al-Qadsiah, tidak mengambil masa lama untuk mencetak impak hebat apabila muncul wira pasukan menewaskan Aston Villa.
Bagaimanapun, kemenangan 3-1 dalam aksi pramusim di Stade Velodrome itu berakhir tegang apabila pemain kedua-dua pasukan terpaksa meleraikan pergaduhan antara Greenwood dan Mings.
Situasi itu tercetus selepas Greenwood dikasari pemain tengah Villa, Amadou Onana sebelum Mings menarik kolar jersi bintang Marseille tersebut hingga terkoyak.

Lebih memanaskan keadaan apabila pengendali Marseille, Roberto De Zerbi dan pengurus Villa, Unai Emery turut bertelingkah antara satu sama lain selepas tamat perlawanan itu.
Dalam aksi itu, Greenwood membuka tirai jaringan seawal minit kelima, namun hanya bertahan tiga minit selepas John McGinn mengikat kedudukan buat Villa pada minit kelapan.
Aubameyang memastikan kepulangannya ke Marseille adalah satu tindakan tepat apabila meledak dua gol pada minit ke-76 dan 79 mengesahkan kemenangan gergasi Perancis itu.
Ia membakar semangat Marseille yang akan membuka kempen Ligue 1 menentang Rennes pada 17 Ogos, manakala Villa perlu meningkatkan usaha menjelang aksi Liga Perdana Inggeris bertemu Newcastle United sehari sebelum itu. – AGENSI
The post Insiden panas Greenwood cemari kemenangan appeared first on Kosmo Digital.