Auto Added by WPeMatico

SEPANG – Syarikat penerbangan tempatan seperti Malaysia Airlines, Batik Air dan AirAsia disaran meningkatkan kekerapan penerbangan ke Zhengzhou, China sebagai antara langkah utama bagi meningkatkan ketersambungan antara kedua-dua negara.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, peningkatan penerbangan terus itu membolehkan aspek ketersambungan ditingkatkan, sekali gus berupaya mengukuhkan kerjasama perniagaan dan pelaburan antara kedua negara.
“Kita mahu meningkatkan nilai perniagaan dan pelaburan antara Malaysia dan wilayah Henan yang mana semuanya boleh berlaku jika mempunyai banyak ketersambungan penerbangan.
“Jadi, kita berharap untuk meningkatkan penerbangan terus antara Zhengzhou dan Kuala Lumpur, bukan sahaja kargo tetapi untuk penumpang juga.
“Susulan itu, kita menyarankan syarikat tempatan untuk meningkatkan penerbangan antara Malaysia dan Zhengzhou dan ia bukan sahaja dari Kuala Lumpur kerana melibatkan bandar lain seperti Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kuching,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada Majlis Zhengzhou- Kuala Lumpur Air Silk Road Forum for International Cooperation di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Loke berkata, peningkatan jumlah penerbangan itu bakal membolehkan lebih ramai pelancong dari Henan ke Malaysia memandangkan wilayah itu mempunyai lebih 100 juta penduduk.
“Kita perlu mengambil peluang ini untuk menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia yang mana ia boleh dibuat melalui peningkatan ketersambungan dan penerbangan terus,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Syarikat penerbangan tempatan disaran tambah penerbangan ke Zhengzhou appeared first on Kosmo Digital.