Auto Added by WPeMatico

TOKYO – Bintang baharu Barcelona, Marcus Rashford sedia untuk merebut kesebelasan utama pasukan musim depan selepas membuat debut pada aksi pramusim menentang jaguh Jepun, Vissel Kobe kelmarin.
Pada perlawanan di Stadium Misaki Park itu, The Catalans melakar kemenangan 3-1 menerusi jaringan Eric Garcia, Roony Bardghji dan Pedro Sarmiento, manakala Rashford pula menyerlah selepas beraksi sebagai pemain gantian selama lebih 30 minit.
Pemain antarabangsa England itu yang berhijrah secara pinjaman daripada Manchester United selama semusim mengakui memiliki strategi tersendiri untuk memikat hati ketua jurulatih, Hansi Flick pada musim baharu nanti.
“Saya cukup gembira dapat lakukan debut dengan pasukan dan memang menjadi impian saya untuk beraksi di hadapan penyokong Barcelona. Minit permainan yang diberikan sudah cukup untuk saya dapatkan kembali stamina.
“Apa yang penting, kami dapat melakar kemenangan dan selepas ini saya tidak sabar untuk beraksi pada perlawanan seterusnya.
“Fokus sekarang adalah menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan dan faham falsafah bola sepak diterapkan oleh barisan kejurulatihan kerana Flick adalah pengendali yang hebat.
“Jika ditanya mengenai posisi kegemaran, sudah tentulah sayap kiri tetapi saya tiada masalah untuk bermain di posisi penyerang utama jika diperlukan,” katanya.
Rashford berpeluang untuk terus membuktikan kemampuannya bersama Barcelona menjelang aksi pramusim seterusnya menentang dua kelab Korea Selatan, FC Seoul (31 Julai) dan Daegu pada 4 Ogos ini. – AGENSI
The post Debut Rashford kurang menyengat appeared first on Kosmo Digital.