Auto Added by WPeMatico

![]()
KUANTAN – Kerana berang dengan mangsa yang dikatakan membuat laporan polis mengenai kegiatan suspek menggunakan bahan terlarang dipercayai menjadi punca seorang lelaki ditikam di bahagian perut di Kampung Sri Damai, Jalan Gambang, di sini, kelmarin
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, mangsa berusia 38 tahun mengalami kecederaan selepas ditikam suspek dikenalinya menggunakan pisau sepanjang kira-kira 0.1 meter di hadapan rumahnya.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati suspek berusia 25 tahun yang datang ke rumah mangsa telah memanggil mangsa keluar sebelum berlaku pertengkaran.
“Suspek dikatakan meminta mangsa mengikutnya dengan alasan ada rakan yang mahu berjumpa, namun mangsa enggan.
“Suspek kemudian secara tiba-tiba mengeluarkan pisau dari belakang seluar dan menikam perut mangsa sebelum melarikan diri,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, akibat tikaman tersebut mangsa mengalami luka di bahagian perut dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.
Dalam pada itu katanya, suspek yang tidak bekerja berjaya ditahan tidak lama selepas kejadian oleh sepasukan anggota polis.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera menggunakan senjata tajam.
Ujarnya, siasatan mendapati kejadian berpunca daripada dendam apabila mangsa didakwa pernah membuat laporan kepada polis berkaitan kegiatan penyalahgunaan bahan terlarang oleh suspek.-KOSMO! ONLINE.
The post Berang kegiatan dilapor polis, lelaki tikam kenalan appeared first on Kosmo Digital.