Auto Added by WPeMatico

LONDON – Liverpool terus mempamerkan penguasaan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mengekalkan rekod bersih kemenangan dalam empat perlawanan awal musim sekali gus membuktikan kemampuan mereka untuk mempertahankan gelaran.
Biarpun pencabar utama mereka, Arsenal berbelanja besar pada jendela perpindahan lalu untuk mengubah nasib selepas tiga musim berturut-turut muncul sebagai naib juara, namun skuad kendalian Mikel Arteta itu diramal tidak mampu berbuat demikian.
Berdasarkan ramalan super komputer Aceodds, Liverpool dijangka terus menguasai saingan musim ini dengan mengumpul 82 mata, manakala Arsenal kekurangan empat mata untuk terus berpuas hati sebagai naib juara untuk empat musim berturut-turut.
Manchester City pula yang berjaya meraih kemenangan pada aksi derbi menentang Manchester United dijangka belum mampu pulih daripada masalah prestasi yang diharungi musim lalu untuk menghuni kedudukan ketiga pada akhir musim nanti.
Sementara itu, United yang sedang mengharungi satu lagi tempoh sukar ketika ini mendapat sokongan daripada ramalan berkenaan apabila mereka mampu mengakhiri musim dalam kelompok 10 pasukan terbaik.
Selepas mengharungi musim yang terus sebelum ini apabila berakhir di kedudukan ke-15, skuad kendalian Amorim dijangka mampu memanjat tangga cara hingga ke kedudukan kelapan dengan mengumpul 57 mata serta meraih 16 kemenangan.
Dalam pada itu, tiga pendatang baharu EPL hanya akan menyaksikan Leeds United kekal untuk saingan musim depan apabila dua lagi pasukan, Sunderland dan Burnley yang menghuni tangga tercorot bakal kembali ke Liga Kejuaraan.
Musim depan juga bakal menyaksikan tiada lagi kelibat Wolves dalam saingan divisyen utama England apabila pasukan itu juga bakal tersingkir selepas diramal hanya mampu mengutip 36 mata sahaja. – AGENSI
The post EPL: Arsenal diramal naib juara lagi appeared first on Kosmo Digital.