Auto Added by WPeMatico

MANCHESTER – Pemain pertahanan kanan Manchester City, Kyle Walker dilaporkan telah bersetuju untuk menyertai Everton dengan kontrak selama setahun, sekali gus menamatkan perjalanan gemilang lapan musimnya bersama kelab juara Liga Perdana Inggeris itu.
Walker kembali ke England selepas tempoh pinjaman enam bulan di AC Milan dan telah mengadakan perbincangan bersama Everton sebelum menerima tawaran rasmi daripada kelab Merseyside itu.
Ketika ini, Everton dan Manchester City masih merundingkan sama ada perpindahan itu akan dibuat secara tetap atau pinjaman 12 bulan, memandangkan Walker masih berbaki setahun dalam kontraknya di Etihad.
Fulham turut berminat untuk mendapatkan khidmat pemain England itu namun terpaksa menarik diri selepas tidak mampu memenuhi tuntutan gaji yang tinggi.
Sepanjang kariernya bersama City sejak berpindah dari Tottenham Hotspur pada 2017 dengan nilai £50 juta (RM300 juta), Walker telah menjulang 17 trofi utama termasuk enam kejuaraan Liga Perdana, dua Piala FA, empat Piala Liga dan satu trofi Liga Juara-Juara Eropah.
Walaupun masih mempunyai kontrak setahun, Walker telah digugurkan daripada skuad Piala Dunia Kelab dan tidak lagi berada dalam perancangan jangka panjang Pep Guardiola musim ini.
“Kyle telah menjadi pemain yang cemerlang buat kelab. Dia sentiasa memberikan segalanya dan menjadi antara kunci kejayaan kami. Namun, selepas musim yang mengecewakan, kelab perlu melakukan proses pembinaan semula,” kata satu sumber kelab.
Pada Januari lalu, Walker menyatakan hasrat kepada City untuk mencuba pengalaman luar negara sebelum menandatangani kontrak pinjaman ke AC Milan.
Namun, gergasi Serie A itu memilih untuk tidak mengekalkan Walker secara kekal selepas menamatkan musim di tangga kelapan liga. – AGENSI
The post EPL: Walker pilih sertai Everton appeared first on Kosmo Digital.