Auto Added by WPeMatico

![]()
MELAKA – Sebuah hotel di Malim Jaya, dekat sini yang sebelum ini diarahkan tutup selepas didakwa mempromosikan elemen ‘mesra gay’ telah dibenarkan beroperasi semula selepas memenuhi syarat ditetapkan pihak berkuasa.
Menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Sapiah Haron, sejurus tindakan penutupan dibuat, pihak pengurusan hotel telah dipanggil hadir ke pejabat bagi memberikan penjelasan berhubung isu tersebut.
“Kami meminta pihak hotel menurunkan semua kandungan promosi yang menjadi kontroversi dan bahan berkenaan telah pun diturunkan sebelum sesi pertemuan rasmi diadakan.
“Sebelum ini, lesen operasi hotel tersebut juga telah ditahan sementara siasatan serta penelitian lanjut dijalankan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ramadan Berkat yang dianjurkan MPHTJ bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, hari ini.
Ujarnya lagi, beberapa syarat pematuhan telah ditetapkan sebelum sebarang kelulusan lesen diberikan.
“Pihak pengurusan hotel mematuhi semua syarat yang ditetapkan dan selepas semakan, lesen hotel berkenaan dikembalikan serta dibenarkan beroperasi semula.
“Pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa untuk memastikan kepatuhan berterusan,” ujarnya.
Mengulas lanjut beliau berkata, pihak hotel menjelaskan, kecuaian itu berlaku susulan penggunaan perkhidmatan syarikat luar negara untuk mengendalikan platform dalam talian mereka.
Terdahulu pada program majlis tersebut sebanyak 2,000 pek bubur kacang, pulut hitam dan pek Mamee telah diedarkan kepada pengguna jalan raya.
Januari lalu, kerajaan negeri mengarahkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menyiasat dakwaan terhadap hotel berkenaan yang didakwa mempromosikan konsep ‘mesra gay’ selepas isu itu tular di media sosial.
Hantaran itu dimuat naik oleh pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung, yang membangkitkan persoalan mengenai trend penjenamaan perniagaan menggunakan label ‘friendly’ seperti ‘pet-friendly’, ‘family-friendly’, ‘muslim-friendly’ dan kini ‘gay-friendly’.
Susulan itu, MPHTJ bersama JAIM telah menjalankan pemeriksaan terhadap premis terbabit dan mengarahkan operasinya ditutup sehingga pemilik tampil memberikan penjelasan. – KOSMO! ONLINE
The post Patuh syarat, hotel didakwa promosi ‘mesra gay’ dibenar beroperasi – MPHTJ appeared first on Kosmo Digital.
