Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Seramai 163 alumni (1994 dan 1995) bersama 33 guru mereka memeriahkan acara Makan Malam Reunion 30 Tahun Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping Tahun 1995, baru-baru ini.
Majlis yang dianjurkan di sebuah hotel di Putrajaya itu telah turut dihadiri oleh lebih 80 pasangan dan anak-anak alumni dan guru terlibat.
Menurut Pengarah Program, Nik Fahusnaza Nik Mohd Najmi, idea reunion ini dicetuskan oleh tiga rakan baik setelah menyedari genap 30 tahun bekas pelajar kumpulan 94/95 ini meninggalkan maktab pada tahun ini.
“Bermula dari itu, sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada 17 alumni telah dibentuk dan mula melakukan gerak kerja untuk menghubungi para alumni dan guru, merangka program, mendapatkan penajaan dari kalangan alumni dan sebagainya.
“Apa yang benar-benar mengharukan hati kami adalah sokongan hebat para guru yang rata-rata berusia 60-an dan 70-an, sanggup datang dari serata Malaysia walaupun terpaksa bertongkat dan berkerusi roda,” katanya menerusi kenyataan.
Bekas Pengetua MRSM Taiping (1993-1997), Ahmad Roslan Johari, yang mengetuai barisan guru yang hadir pada malam tersebut menyifatkan sambutan dan layanan para alumni 94/95 ini adalah di luar jangkaan.
“Kami juga diberikan layanan begitu hebat dengan penginapan hotel mewah dan diberikan perhatian begitu sempurna sepanjang dua hari kami bersama mereka.
“Bukan sahaja peluang kami mengubat rindu dengan anak-anak didik yang kini telah menjadi insan-insan hebat dalam pelbagai bidang, bahkan kami guru-guru dapat bersua kembali sesama rakan-rakan seperjuangan,” ujarnya.
Selain daripada makan malam dan pelbagai acara pentas yang dirangka dan dipersembahkan khas, para alumni dan guru yang hadir turut berpeluang menyaksikan pameran gambar-gambar memori semasa mereka di MRSM Taiping 30 tahun lalu. – KOSMO! ONLINE
The post Reunion terbesar 30 tahun MRSM TAIPING 95 appeared first on Kosmo Digital.