Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Sebanyak 37 penempatan tradisi atau kampung telah dikenal pasti di Kuala Lumpur dibawah Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) yang diwartakan pada 19 Oktober 2023.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, daripada jumlah itu, 31 kampung dengan ukuran keluasan 1,660.12 hektar terdiri daripada penduduk majoriti Melayu.
“Daripada kesemua kampung Melayu ini, sebanyak 11 kampung dengan luas 701.95 hektar dalam kawasan Rizab Melayu.
“Manakala daripada pewartaan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, jumlah keseluruhan tanah Rizab Melayu sebanyak 1,004 hektar meliputi pelbagai jenis guna tanah,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Zulkifli Ismail (PN-Jasin) jumlah keluasan penempatan tradisi Melayu dan Rizab Melayu yang masih wujud di Wilayah Persekutuan.
Dr. Zaliha berkata, kesemua 37 buah kampung itu telah ditetapkan hala tuju perancangan masa hadapannya melalui klasifikasi Kampung Tradisi, Kampung Potensi Pembangunan dan Kampung-kampung Lain.
Menurut beliau, Kampung Tradisi akan memberi penekanan kepada memperkukuh perancangan ke arah pembentukan perkampungan tradisi di Kuala Lumpur.
Kata beliau, Kampung Potensi Pembangunan ditetapkan dengan zon guna tanah dan intensiti pembangunan yang berdaya maju bagi membolehkan pelaksanaan pembangunan.
Jelas beliau, bagi Kampung-kampung Lain pula, tumpuan ke arah penaiktarafan persekitaran terutama elemen infrastruktur dan utiliti bagi tujuan kesejahteraan kependudukan.
Dr. Zaliha berkata, fokus utama perancangan pembangunan adalah Rizab Melayu di Gombak melibatkan enam kawasan iaitu Kampung Padang Balang, Kampung Sungai Mulia, Kampung Sungai Merali, Kampung Banda Dalam serta sebahagian Kampung Chubadak Hulu dan Kampung Puah Asal.
Katanya, bagi memastikan kelangsungan komuniti Melayu di ibu negara, kuota pemilikan bumiputera telah ditingkatkan sejak tahun 2023 iaitu minimum 40 peratus bagi projek persendirian dan 70 peratus untuk projek kerajaan atau usahasama.
“Untuk Rizab Melayu, pemilikan mesti 100 peratus Melayu tanpa kompromi,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan juga sedang meneliti cadangan pelaksanaan komponen pembangunan Melayu di tanah Rizab Melayu dan kawasan Malay Agriculture Settlement (MAS) melibatkan Rumah Mampu Milik Melayu, Kedai Mampu Milik Melayu dan Perindustrian Ringan Mampu Milik Melayu.
Jelas beliau, Putrajaya tidak mempunyai tanah Rizab Melayu, manakala di Labuan istilah digunakan Tanah Anak Negeri di bawah Enakmen Anak Negeri. – KOSMO! ONLINE
The post Dewan Rakyat: KL masih ada 31 kampung penduduk majoriti Melayu appeared first on Kosmo Digital.