Auto Added by WPeMatico

KUALA TERENGGANU – Hasrat tiga lelaki menyertai perhimpunan motosikal Yamaha RXZ di Kuantan, Pahang tidak kesampaian apabila mereka terlibat dalam kemalangan Kilometer 430, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) di sini hari ini.
Kemalangan pada pukul 8.45 pagi itu menyebabkan Mohamad Faizal Adam Azhar, 31, yang berasal dari Kubang Kerian, Kelantan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Dua lagi mangsa iaitu Muhammad Zarul Asyraf Mukhtar, 26, dan Muhammad Arif Che Mahisan, 29, yang juga menunggang motosikal RXZ pula masing-masing cedera parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu kejadian, ketiga-tiga mangsa yang berasal dari Kelantan dikatakan dalam perjalanan untuk menyertai perhimpunan motosikal Yamaha RXZ di Teluk Cempedak, Kuantan.
“Kemalangan berpunca selepas motosikal Yahama RXZ ditunggangi Muhammad Arif yang berasal dari Bunut Susu, Pasir Mas dikatakan dirempuh dari arah belakang oleh motosikal dinaiki Mohamad Faizal Adam.
“Impak perlanggaran tersebut menyebabkan motosikal Muhammad Arif mengelungsur ke hadapan lalu merempuh motosikal ditunggangi
Muhammad Zarul Asyraf yang berasal dari Jekam Tekoh, Gua Musang pula,” katanya di sini hari ini.
Azli berkata, ketiga-tiga motosikal Yamaha RXZ dinaiki kesemua mangsa kemudiannya terjatuh lalu terseret sejauh beberapa meter ke atas lebuh raya.
Beliau berkata, motosikal milik Mohamad Faizal Adam seterusnya tercampak ke dalam longkang di tepi lebuh raya. – KOSMO! ONLINE
The post Satu maut, dua penunggang Yamaha RXZ cedera parah di LPT 2 appeared first on Kosmo Digital.