Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Seorang wanita tempatan berusia 20-an berjaya diselamatkan selepas cuba terjun dari balkoni sebuah unit pangsapuri di tingkat 15, Desa Park City, Kepong hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur (PGOKL) dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden cubaan bunuh diri pada pukul 3.10 petang.
Menurutnya, jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Menjalara tiba di lokasi kira-kira lapan minit kemudian, dibantu BBP Sri Hartamas bersama Unit High Rise Building.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, terdapat seorang wanita duduk di atas balkoni kediamannya di tingkat 15 dan dipercayai cuba terjun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pasukan operasi kemudian bertindak memasang tali penyelamat dari tingkat 16 dan menjalankan usaha memujuk mangsa agar tidak bertindak sedemikian.
Operasi menyelamat dijalankan penuh berhati-hati dengan mangsa berjaya ditarik masuk semula ke dalam rumah pada pukul 4.30 petang.
Tiada kecederaan serius dilaporkan dan mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE
The post Bomba berjaya pujuk wanita cuba lompat dari tingkat 15 appeared first on Kosmo Digital.