Auto Added by WPeMatico

MISANO – Pelumba Sepanyol, Marc Marquez menegaskan bahawa dia akan kekal bersaing dengan mentaliti juara biarpun semakin hampir untuk mengesahkan kejuaraan dunia MotoGP buat kali ketujuh.
Pelumba pasukan Ducati Lenovo itu berkata, pendekatan tersebut penting bukan sahaja untuk menghabiskan musim ini dengan cemerlang, tetapi juga sebagai persediaan awal menghadapi cabaran musim 2026.
Marquez tewas buat pertama kali sejak GP Britain di Silverstone pada Mei lalu apabila terpaksa akur menamatkan saingan di tempat kedua di GP Catalunya, Sepanyol di belakang adiknya, Alex Marquez minggu lalu.
Walaupun kejuaraan dunia hampir pasti menjadi miliknya dengan kelebihan 182 mata, namun Marquez tetap enggan mengambil mudah perlumbaan minggu ini di GP San Marino.
“Mentaliti saya adalah mengekalkan pemikiran yang sama. Walaupun berbaki tujuh pusingan, saya mahu mengekalkan mentaliti yang sama kerana masih banyak lagi perlumbaan untuk menghabiskan musim ini.
“Mungkin kami boleh mengesahkan kejuaraan lebih awal, tetapi kami akan cuba mengekalkan momentum sekarang kerana apabila tahun ini berakhir, musim 2026 akan bermula pada hari berikutnya,” kata pelumba berusia 32 tahun dari Sepanyol itu.
Dalam masa sama, Marquez turut melahirkan keyakinan menjelang perlumbaan esok dengan menyifatkan Litar Misano lebih sesuai dengan gaya tunggangannya berbanding Catalunya.
“Kami akan cuba sekali lagi tahun ini untuk merebut kemenangan,” ujarnya. – AGENSI
The post Marquez mahu bangkit lepas geram appeared first on Kosmo Digital.