Auto Added by WPeMatico

MUAR – Seorang lelaki yang disyaki mempunyai masalah mental mengamuk memukul bapa kandungnya dengan menggunakan rotan dan melibas pisau dalam kejadian di Kampung Tengah, Jalan Bakri, di sini pagi semalam.
Dalam kejadian pada pukul 9.43 pagi itu, suspek yang berusia 32 tahun turut bertindak membakar kenderaan serta rumah milik keluarganya.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, bapa suspek yang berusia 70 tahun mengalami kecederaan selepas diserang lelaki tersebut dan kini dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini.
“Siasatan mendapati sebelum kejadian kebakaran berkenaan, suspek telah memukul serta melibas bapanya dengan rotan dan pisau sehingga menyebabkan bapanya cedera dan mendapatkan rawatan di hospital.
“Kejadian turut menyebabkan sebuah kereta dan motosikal musnah dengan anggaran kerugian sebanyak RM100,000 sehingga RM150,000. Suspek yang ditahan dan hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu disahkan positif dadah jenis methamphetamine,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Raiz Mukhliz berkata, suspek turut dikejarkan ke HPSF kerana mengalami kecederaan ringan serta disyaki mempunyai masalah mental.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api dan Seksyen 324 kanun yang sama kerana mendatangkan kecederaan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Muar, Timbalan Penguasa Bomba II Shahrizal Mokhtar berkata, kebakaran melibatkan sebuah rumah teres jenis kekal berkeluasan 22,500 kaki serta sebuah kereta jenis Perodua Kancil dan sebuah motosikal jenis Honda EX5.
“Kebakaran telah memusnahkan kira-kira 70 peratus struktur rumah, manakala kereta dan motosikal tersebut musnah sehingga 90 peratus. Kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.10 pagi dan operasi sepenuhnya ditamatkan pada pukul 11.06 pagi,” katanya.-KOSMO! ONLINE
The post Libas bapa guna rotan, pisau sebelum bakar rumah, kenderaan appeared first on Kosmo Digital.