Auto Added by WPeMatico

LONDON – Pemain pertahanan Chelsea, Levi Colwill berharap dapat menutup mulut pengkritik menjelang musim baharu saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang akan membuka tirainya bulan depan.
Meskipun sudah memenangi Piala Dunia Kelab (CWC) 2025 di Amerika Syarikat bulan lalu, namun skuad kendalian Enzo Maresca itu masih tidak diberikan penghormatan sewajarnya apabila ada pihak memperlekehkan kemenangan tersebut.
Justeru, Colwill menggesa rakan sepasukan supaya menjadikan perkara itu sebagai pembakar semangat untuk mereka membuktikan kemampuan sebenar dengan mencabar takhta EPL musim baharu nanti.
“Apa yang saya rasa, masih ramai pihak yang tidak memberikan penghormatan sewajarnya kepada kami. Walaupun sudah bergelar juara dunia tetapi mereka tetap memperlekehkan kemampuan Chelsea.
“Bagi saya, ia hanya membangkitkan semangat juang setiap pemain bagi menutup mulut setiap pengkritik. Memang ia menjadi salah satu suntikan motivasi untuk kami bersaing merebut gelaran liga pula,” katanya.
Pada masa sama, dia turut mengingatkan rakan sepasukan supaya tidak terbuai dengan gelaran juara dunia memandangkan The Blues pasti akan menjadi sasaran setiap pasukan sepanjang kempen 2025/26.
“Saya percaya banyak pasukan mahu menewaskan kami nanti tetapi ia bukanlah sesuatu yang teruk. Itu menunjukkan bahawa mereka menghormati kami sebagai juara dunia tetapi kami juga mahu mencatat kemenangan,” ujar Colwill. – AGENSI
The post Colwill mahu Chelsea lebih dihormati appeared first on Kosmo Digital.