Auto Added by WPeMatico

SHAH ALAM – Tiada masa dan terlupa antara alasan paling kerap digunakan pengguna jalan raya selepas dikesan tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh dalam Ops Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) malam tadi.
Dalam operasi hampir lima jam bermula pukul 8.30 malam itu didapati sebanyak 252 notis kesalahan dikeluarkan hasil pemeriksaan 580 buah kenderaan termasuk motosikal.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, sepanjang operasi itu juga didapati cukai jalan yang paling lama tidak diperbaharui adalah dua tahun melibatkan penunggang motosikal.
Katanya, operasi tersebut bertujuan untuk mengurangkan salah laku kenderaan dan memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi undang-undang ditetapkan.
“Hasil siasatan menunjukkan kebanyakan mereka memaklumkan terlupa dan tiada masa sebab sibuk kerja untuk tidak perbaharui lesen memandu dan cukai jalan.
“Kita turut menyita masing-masing empat bagi kereta dan motosikal,” katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian malam tadi.
Menurut beliau, operasi itu turut mengesan kenderaan menggunakan lampu limpah yang tidak mengikut spesifikasi selain pengubahsuaian ekzos bagi motosikal.
Tambahnya, daripada 252 notis dikeluarkan pihaknya menunjukkan 76 didapati tiada lesen memandu diikuti Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (51), tiada insurans (49) dan tiada Lesen Memandu Kenderaan Barangan (GDL) dengan lapan kesalahan.
“Di samping itu, kesalahan lain adalah tidak memaparkan nombor pendaftaran kenderaan (7), tiada cermin pembalik (5) serta lain-lain kesalahan teknikal sebanyak 10 kenderaan.
“Kesemua kesalahan disiasat dibawah pelbagai Seksyen Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Lupa, tiada masa perbaharui lesen dan cukai jalan appeared first on Kosmo Digital.