Auto Added by WPeMatico

![]()
KLUANG – Kisah penemuan seekor harimau belang di Kampung Rahmat, baru-baru ini semakin membimbangkan penduduk apabila dua ekor lembu ternakan penduduk ditemui mati tidak jauh dari kawasan kediaman mereka.
Ketua Kampung Rahmat, Salim Darman berkata, penemuan bangkai lembu pada pagi semalam amat mengejutkan pihaknya kerana secara kebiasaannya semua haiwan ternakan itu berada tidak jauh dari kawasan rumah atau kandang.
Jelasnya, pihaknya amat yakin harimau yang ditemui pada Ahad lalu masih berada dalam kawasan hutan kecil di kampung itu kerana kematian lembu itu dijangka berlaku antara satu hingga dua hari lalu.
Katanya, susulan daripada penemuan bangkai ternakan ini, pihaknya juga yakin harimau berkenaan akan datang lagi dalam tempoh terdekat apatah lagi masih banyak sisa tinggalan daripada lembu yang masih belum dimakannya.
“Susulan itu, kami mengharapkan pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara dapat bertindak drastik lagi bagi mengesan kedudukan pak belang itu kerana bimbang jika serangan berlaku keatas penduduk,”katanya kepada Kosmo!, hari ini.
Menurut Salim lagi, sebelum itu pada Isnin pihaknya menemui bangkai seekor kambing tidak jauh dari kandang ternakan di hujung kampung itu, namun sudah ditanam oleh penternaknya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, seorang pekebun bersama bapanya serta seorang anggota polis terserempak dengan seekor harimau belang ketika dalam perjalanan pulang dari kebun. -KOSMO! ONLINE
The post Kecoh 2 ekor lembu, kambing jadi ‘lauk’ pak belang appeared first on Kosmo Digital.
