Auto Added by WPeMatico

TAMPIN – Penduduk di sekitar Pekan Gemas hingga dipercayai ke Felda Bukit Jalor turut merasai kesan gempa bumi lemah berukuran 4.1 magnitud telah berlaku di Segamat, Johor pada pukul 6:13 pagi tadi.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) KTMB Gemas, Johani Jemain berkata, ketika kejadian dia masih berada di Masjid Jamek Gemas serta kemungkinan ada antara 50 jemaah yang lain merasai gegaran sama.
“Bagaimanapun, sebaik balik ke rumah, isteri memaklumkan terdengar bunyi letupan. Pada mulanya sangkaan adalah bunyi letupan latihan tentera di Kem Syed Sirajuddin Gemas seperti biasa yang kami alami, rupanya jiran kami, Segamat dilanda gempa bumi lemah.
“Ini pertama kali berlaku di sini dan sejak pagi tadi ramai yang berkongsikan kesan gegaran serta bunyi bom seperti latihan yang mereka rasai di dalam aplikasi kumpulan whatsApp serta media sosial,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sri Gemas, Mohamad Rafidzal Zulkarnain berkata, kejadian kira-kira pukul 6.15 pagi itu mengakibatkan gegeran kecil.
“Masa tu saya nak pergi minum, tiba-tiba rasa macam bergegar sedikit. Sebelum ini, kita rasa gegaran sebab latihan tentera sahaja, ini pertama kali kita rasa gegaran sebab gempa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemas, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Razeaf Zamri berkata setakat ini, pihaknya tidak menerima apa-apa panggilan untuk maklum kes berkaitan kesan gempa di kawasan Gemas.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam hantaran di Facebook memaklumkan, pusat gempa dikesan di lokasi 5 kilometer dari Segamat pada kedalaman 10 kilometer.
Tambahnya gegaran dirasai di kebanyakan kawasan di Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Selatan Pahang.
-tamat-
Salah seorang jemaah Masjid Jamek Gemas terletak berhampiran sempadan Segamat yang ketika itu mahu memulakan solat Subuh berjemaah merasai gegaran susulan negeri jiran mengalami gempa bumi lemah berukuran 4.1 magnitud. -FOTO/ NOR AINNA HAMZAH
The post ’50 jemaah subuh panik, ingat ada latihan tentera’ appeared first on Kosmo Digital.