Auto Added by WPeMatico

TUMPAT – Pasukan Gerakan Am (PGA) sudah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membina lapan lagi pos kawalan baharu di sepanjang Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, penambahan pos PGA itu penting kerana sindiket penyeludupan akan mengambil kesempatan terhadap perubahan aliran Sungai Golok untuk mencari laluan baharu bagi menjalankan aktiviti berkenaan.
“Sebagai contoh, di kawasan Pulau Tengkorak, Pengkalan Kubor. Kita mengesan beberapa kes penyeludupan rokok melalui jalan laut sebelum dibawa masuk ke tanah besar.
“Di lokasi ini wajar dibina satu lagi pos kawalan yang menghadap laut kerana kedudukannya juga berdekatan dengan jeti Pasukan Polis Marin (PPM),” katanya ketika ditemui pemberita semasa mengadakan lawatan bersama Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Luqman Ahmad di markas taktikal PGA Pengkalan Kubor di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, sebanyak 128 pangkalan haram akan dirobohkan di sepanjang Sungai Golok bermula dari Pengkalan Kubor sehingga Rantau Panjang.
Pihak polis sudah menerima surat kebenaran dari pada kerajaan negeri dan kerja merobohkan pangkalam haram termasuk di tanah persendirian itu akan dimulakan dalam masa terdekat.
Dalam perkembangan sama, Nik Ros Azhan memberitahu, pihaknya mencadangkan supaya pemasangan kawat duri dilakukan di Rantau Panjang sebaik sahaja pangkalan haram dirobohkan.
“Kawat perlu dipasang di sepanjang 1.8 kilometer bermula dari Pos Ibrahim Pencen hingga Jambatan Muhibbah. Kawasan itu adalah tanah kerajaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post PGA mohon lapan pos kawalan baharu di Sungai Golok appeared first on Kosmo Digital.